Tanyalah pada mana-mana anak gadis, berapa kali mereka mahu bercinta. Pastinya jawapannya begini: "Kalau boleh nak bercinta sekali, kemudian terus kahwin dengan orang itu." Saya tersenyum sinis mendengar jawapan itu. Indah sekali harapan itu. Malah lebih baik jika mula berkenalan, kahwin dan bercinta selepas pernikahan. Walaubagaimanapun, setiap orang ada ‘dramanya’ tersendiri. Kita boleh mengharap dan bercita-cita tetapi kita tidak akan pernah tahu apa akan terjadi pada masa hadapan.
Orang yang bercinta selepas kahwin becerita tentang nikmatnya rasa itu. Halal dan bahagia. Orang yang bercinta pertama kali dan dapat berkahwin dengan cinta pertama tersenyum gembira hinga ke telinga. Tetapi tidak semua orang akan bertuah sebegitu. Ada yang sudah mengharungi beberapa hubungan tetapi masih gagal mendapat si dia yang sesuai. Ada pula yang tidak pernah mempunyai hubungan kerana ingin menunggu bakal suami tetapi si dia tidak muncul-muncul dalam hidup.
Saya hanya mampu tersenyum sinis melihat mereka yang berpangkat adik merungut atau merintih kerana masih tidak mempunyai buah hati atau masih tidak berjumpa dengan si dia yang dinanti. Kakak-kakak yang lagi tua bertahun-tahun ini boleh ‘relax’ tetapi adik-adik pula yang bagaikan cacing kepanasan. Bersabarlah adik-adik. Masanya akan tiba, lebih-lebih lagi kalian masih muda lagi. Ingatlah di sebalik perkahwinan yang nampak gah dengan cinta itu, ada ‘berguni-guni’ tanggungjawab yang perlu dipikul. Mungkin kita masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu, maka Allah lambatkan kedatangan si dia. Percayalah, cepat atau lambat, ada hikmah yang tidak terduga di sebaliknya. Allah knows the best.
Walaubagaiamanpun, tidak dinafikan golongan yang berada dalam lingkungan umur 19- 22 adalah mereka yang merasakan sifat keinginan untuk mencintai dan dicintai yang tinggi. Rasa itu tidak diundang tetapi tanpa disedari ia hadir juga. Itu memang normal, saya sudah melalui fasa hidup itu. Jika ada yang berjaya bertemu dengan si dia dan akhirnya ke jinjang pelamin, tahniah diucapkan. Semoga berbahagia dan diredhai Allah selalu. Kepada yang tidak berjaya, jangan bimbaaaang. Umurmu masih muda. Perjalananmu masih panjang, insya Allah. Si dia akan tiba juga, percayalah. Jangan lupa teruskan berdoa dan berdoa dan jangan lupa membaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik daripada diri kita yang sebelum ini.
Kawan Afghanistan saya ada memberi analogi tentang ‘kedatangan si dia’. Dia kata, "Bersabarlah dan terus berdoa. Kamu bagaikan berada di sebalik pintu menanti kedatangan si dia. Si dia pula sedang berusaha keras mencari kamu dari pintu ke pintu. Ada masa dia tersilap buka pintu, ada masa pula pintu kamu berada terlalu jauh, ada masa pula pintu kamu berada dekat saja tetapi dia terlepas pandang. Oleh itu, gunakan masa pencarian dia dan penantian kamu itu dengan baik. Itulah masanya kita membina diri untuk bersedia menghadapi hidup bersama. Apabila masing-masing telah bersedia, Allah akan lorongkan si dia untuk melihat pintu kamu dan menuju pintu kamu dengan mudah dan penuh keberkatan. Ketika itu dia akan memberi salam dan membuka pintu dan kamu akan menyambut kedantangannya dengan ucapan salam dan senyuman yang paling manis.”
Saya sangat suka dengan analogi itu tetapi saya sempat bergurau pula dengan mengatakan "Saya tak kunci pintu tu, malah saya dah siap bukakan sikit gitu, kenapa dia tak nampak-nampak juga?” Hehehe.
Apa-apa pun jangan pernah putus harapan dan teruslah berdoa. Jodoh setiap insan lain-lain maka janganlah sedih jika jodoh kita tidak secepat orang lain.
Lagi-lagi pada bulan Ramadhan ini, doa menjadi lebih mustajab. Maka doalah banyak-banyak. Wink*wink* Dalam sibuk-sibuk mencari cinta manusia, jangan lupa cinta yang paling utama ye? Cinta kepada Allah perlu disuburkan selalu. Semoga amal ibadat kita pada bulan mulia ini diberkati dan diterima Allah. Jangan lupa tadarus dan berselawat banyak-banyak! ^_^