RSS

Thursday, September 21, 2006

Siri Pertama Artikelku

Aku sebenarnya baru siapkan artikel utk majalah student malaysia kt mesir. diorang yang mintak aku tolong tuliskan. dah siap dah tapi tak tau la samada artikel aku ni best atau tak. aku hanya tulis apa yg aku tau saja la kan. tak hantar lagi sebenarnya ni. terhilang plak emel diorang. so sementara tunggu reply dari pihak sana, aku lepak la dulu. bile artikel dihantar ke majalah, tak sume yang akan dipaparkan. mesti la ada bhg yg akan dipotong. so..khas untuk pembaca blog aku ni, aku akan masukkan artikel aku yg original dlm blog ni. tapi bersiri2 la tau. kalau dah namanya artikel utk majalah, bhsnya agak serius n berbunga2 la skit. hihihiih.


SIRI 1: AZAM BARU DI DUNIA BARU

Masih terasa lagi basahnya pipi tatkala saya menangis pada petang 2001 itu. Perasaan kecewa yang melanda jiwa tidak dapat digambarkan. Sejak kecil saya sering memanjat tangga pentas untuk mengambil hadiah di atas kejayaan cemerlang. Namun begitu, pada petang perjumpaan ibu dan guru itu, saya terasa tercabar. Keputusan peperiksaan percubaan SPM saya tidak beberapa baik. Ada juga guru yang mengatakan saya sudah tiada harapan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Paling tinggi pun mungkin B4. Saya terasa kecewa dan malu terhadap ayah dan ibu. Dengan linangan air mata, saya memohon maaf. Saya sudah cuba yang terbaik tetapi keputusannya tetap begitu.

Tanpa saya sangka, ayah dan ibu hanya tenang. Tiada sedikit pun riak marah atau kecewa yang muncul pada wajah mereka. Terima kasih ayah, ibu. Sesungguhnya kalianlah insan yang paling memahami diri ini. Ketika itulah ayah mencadangkan aku mengambil bidang Sastera Parsi di Iran. Sememangnya ayah hanya memberi cadangan dan tiada langsung unsur-unsur paksaan. Entah mengapa ketika itu hati saya berubah 360 darjah. Saya yang dulunya begitu bencikan sastera tiba-tiba begitu berminat dengan cadangan ayah. Betullah kata orang yang kita tidak patut terlalu membenci atau terlalu menyukai sesuatu, kelak yang sebaliknya pula akan terjadi. Sejak hari itu saya sudah mengambil keputusan untuk memilih Sastera Parsi sebagai bidang saya. Walaupun begitu, saya tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi SPM yang bakal menjelma.

Alhamdulillah keputusan SPM saya tetap cemerlang. Walaupun saya menerima banyak tawaran untuk belajar di matriks dan institut pengajian tinggi yang lain, saya tetap menolak. Setelah menunggu keputusan penerimaan ke universiti dari Iran hampir setahun, akhirnya surat dari Iran pun tiba. Ayah saya terus membeli tiket kapal terbang syarikat Iran Air pada awal bulan Januari 2003.

Malam itu rumah kami penuh dengan tetamu. Rumah terang benderang disimbahi cahaya lampu. Kawan sepejabat ayah turut datang untuk meraikan pemergian saya. Kira-kira 5 buah kereta mengiringi pemergian saya ke lapangan terbang. Saya merupakan cucu sulung dalam keluarga. Oleh itu, saya adalah 'perintis' di kalangan cucu untuk pengajian di luar negara.

Pelbagai nasihat dan pesanan ditaburkan. Belajar bersungguh-sungguh, jangan lupakan kami dan yang paling menggelikan hati-jangan kahwin dengan orang Iran. Melihat ahli keluarga yang datang beramai-ramai untuk memberi sokongan, saya terharu. Saat yang dinantikan telah tiba. Beberapa orang ahli keluarga menangis kesedihan. Setelah mengucapkan selamat tinggal dan memberikan lambaian terakhir, saya, ibu dan ayah melangkah ke arah perhentian 'skytrain' di KLIA. Peliknya tiada setitis pun air yang mengalir di pipi saya.

Penerbangan le Iran selama 8 jam memang memenatkan. Hari masih gelap tatkala kami tiba. Sementara menunggu kedatangan kawan ayah, kami mengambil tempat duduk. Lapangan Terbang Iran tidaklah sebesar mana. Terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan KLIA. Rakan ayah, Oghoye Ali (Encik Ali) akhirnya tiba dengan senyuman lebar. Saat melangkah keluar dari lapangan terbang, saya sudah menggigil kesejukan. Terdetik di hati, bagaimana mungkin saya tinggal dalam cuaca sejuk begini.Selama ini pun saya tidak tahan dengan penghawa dingin di hotel. Inikan pula musim sejuk yang bertemankan salji. Melihat kota Tehran pada pukul 6 pagi memberikan saya rasa baru. Teringin melihat Tehran dengan sepuas-puasnya tetapi hari masih gelap. Kami dihantar ke sebuah hotel. Setelah solat subuh, kami tertidur kepenatan.

Saya bangun dengan semangat berkobar-kobar. Tehran, tungulah kehadiranku! Kota Tehran memang begitu sesak. Ayah saya beritahu Tehran tiada bezanya dengan Jakarta. Bilangan orang di Tehran pada waktu siang menjangkau ke 15 juta manakala malam pula 12 juta. Pada waktu siang, penduduk dari kawasan berdekatan akan membanjiri Tehran untuk bekerja. Saya tidak mampu bernafas dengan baik. Udaranya kotor dan tercemar. Bagaimana saya mahu tinggal di sini jika bernafas pun terasa sukar?

Orang-orang Iran cantik belaka. Asal mereka adalah dari golongan Aryan. Tinggi, berkulit cerah, mata berwarna dan rambut juga ada yang bewarna cerah. Boleh dikatakan mereka seperti orang Eropah tetapi mereka mempunyai kecantikan tersendiri. Secara nisbah saya boleh katakan dari 10 orang, 6 tergolong dalam kumpulan cantik. Bagi saya, orang yang menyapu sampah di tepi jalan juga boleh dijadikan model!

Perempuan di sini memakai pakaian yang dipanggil montu. Montu ini seperti jubah berseluar. Perbezaannya, mereka memakai montu dengan seluar jeans. Tudung pula kelazimannya ‘maknae'. Sejenis tudung seperti tudung sekolah cuma lebih pendek. Paling panjang pun sehingga ke paras dada dan diperbuat daripada kapas(cotton). Terasa kelaianan dan kejanggalan diri ini lantas saya meminta supaya dibelikan montu dan maknae. Sebagai permulaan, saya membeli dua pasang montu berwarna biru dan kelabu. Dengan montu baru, kami menyusuri jalan Tehran yang sesak. Setiap mata tertumpu kapada kami. Terasa seperti artis terkenal pula!

Kami pergi ke Enqelab-tempat yang dipenuhi dengan buku.Ayah seperti biasa meluangkan masa yang banyak melihat buku-buku disitu. Saya dan ibu penat menunggu ayah. Semestinya kami bosan menunggu kerana kami tidak tahu langsung bahasa Parsi. Berbeza dengan ayah dia tahu bahasa Parsi dan sudah pasti dia mengalami waktu yang menggembirakan. Sambil menuggu ayah, saya dan ibu sempat memerhatikan orang Iran yang lau-lalang. Kebanyakan daripada mereka mempunyai hidung yang bertampal. Ibu berbisik"Mungkin orang Iran ramai yang terjatuh sehingga hidung mereka patah". Pembedahan plastik memang terkenal dan berleluasa di Iran. Mereka menjalani pembedahan plastik mata, pipi, bibir, dan yang paling popular ialah pembedahan hidung.

Ayah keluar dari kedai buku terpakai dengan dua ikat buku. Itu baru satu kedai! Belum lagi kedai-kedai lain. Kami singgah makan di sebuah restoran bawah tanah. Melihat makanan yang disediakan di situ, tekak saya kembang. Lain benar dengan makanan kita di Malaysia. Tengok saja rupa, saya sudah tidak lalu. Supnya hijau semacam lumut saja! Kami hanya memesan teh biasa dan roti.


Bookmark and Share