RSS

Monday, May 26, 2008

Kerja Oh Kerja...

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Hari ni aku tekadkan juga diri untuk menulis post blog. Setelah habis exam TOEFL dan GRE, aku melepak je kat rumah. Aku jadi penanam anggur profesional. Heheheh. Aku rasa kalau lama sikit aku duduk kat rumah aku dah boleh eksport anggur tanaman aku ke luar negara. Hampir sebulan lebih juga la aku duduk lepak kat rumah. Aku pegi la juga interview2 keje. Masalahnya lama sangat pulak la nak bagi jawapan. Aku masa tu dah rasa semacam. Dah terlalu lama cuti rasa lain pulak. Macam mana nak cakap ye...Rasa macam diri ni useless plak. Aku rasa aku mampu buat kerja macam-macam tapi kenapa aku kena stay kat rumah je sementara tunggu keputusan universiti untuk sambung MA. Dah la lambat lagi nak tau keputusan universiti. Mau berlumut aku stay kat rumah. Jadi aku pun masuk la laman web untuk cari kerja. Masalahnya lagi susah nak cari kerja sementara dari kerja tetap. Banyak yang reject aku dari awal bila tau aku nak kerja sementara je.

Akhirnya aku amik keputusan cakap yang aku nak cari kerja tetap. Terpaksa bohong sunat sebab terpaksa. Kalau tak, memang tak akan dapat kerja la. Terpaksa…Dah jadi desperate housewife dah. Hehehehehe. Aku akhirnya diterima kerja di sebuah call center di Menara Selangor Dredging. Rasanya keje dia kena call orang tawarkan penggunaan kad kredit. Tapi tak jadi pulak sebab diorang malas nak proses sijil aku. Agensi pekerjaan yang tolong aku tu kata syarikat tu tak nak buat keje banyak2 untuk proseskan sijil pekerja lulusan luar negara. Pulak! Takpelah..Lepas tu agensi pekerjaan tu bawak aku untuk interview yang seterusnya. Kali ni pun call center jugak.

Aku kena hadapi 2 kali interview. Masa khamis tu aku kena interview dengan seorang lelaki cina. Aku sebenarnya main redah je untuk gi interview. Tak kisahlah keje apa pun. Kejenye adalah telemarketer. Tau tak keje dia macam mana? Kejenye kena promote sesuatu melalui tepon. Esoknya aku dipanggil untuk sessi interview kedua. Ada seorang perempuan cina pulak yang interview aku.Lama giler temuduga. Hampir 2 jam. Hohohoho. Akhirnya aku sendiri yang penat. Berapa kali aku buat muka toye mintak habiskan temuduga. Akhirnya habis gak n aku dipilih untuk bekerja. Alhamdulillah aku terpilih setelah lama bercakap. Kalau tak, mau aku bakar pejabat tu.

Hari Isnin tu jugak aku dipanggil masuk keje. Hari pertama aku dah lambat. Hehehe. Ye la kan. Kena ulang alik dari Tanjong Malim ke Kuala Lumpur. Aku sampai ke stesen 6.20 pagi dan tiket untuk bas 6.30 dah habis. Terpaksa la beli tiket 7 pagi. Aduh…tunggu lagi. Jalan jam! Sampai je kat perhentian tren Masjid Jamek, aku rasa macam nak pengsan. Ramai giler orang beratur! Berlapis2 ha.Tren keempat dah lepas tapi aku tak bole gak naik. Akhirnya agen aku dari agensi pekerjaan tu call, dan tanya aku kat mana. Alhamdulillah dia tolong call kan ofis baru tu dan kata aku terlewat. Aku masuk hari tu dengan seorang lelaki India. Hari pertama, lelaki cina yang interview aku, Eric yang bagi sesi latihan. Bukan senang nak jadi telemarketer. Kena pandai pujuk rayu orang beli produk dari tepon. Tak ke susah tu? Pas tu kami didudukkan sebelah telemarketer lain untuk dengar cara diorang bercakap. Sekarang kami kendalikan projek Dell Computer. Setiap minggu ada promosi yang berlainan. Kami kena jual laptop dan desktop.Ingat senang nak jual komputer kat orang melalui tepon? Setiap orang akan diberi sebeban senarai panggilan. Target kami adalah syarikat kecil dan sederhana. Setiap hari kena buat sekurang2nya 130 panggilan. Huhuhu! Mau berasap telinga. Kalau gayut dengan pakwe takpe la jugak. Ini kena bergayut tepon memujuk rayu orang beli komputer.

Kami ni dikira buat jualan secara langsung. Kelebihan Dell Computer ialah direct selling. Takde orang tengah. Jadi harga tak naik la. Pastu ada warranty setahun. Kalau ada apa2 rosak ke, contohnya DVD burner, kita boleh tepon Dell,dan diorang akan ajar cara nak baiki melalui tepon. Kalau tak elok gak, esok harinya (hari keje) mereka akan datang dan ganti yang baru tanpa sebarang bayaran. Haa..amacam? Ada macam ayat salesgirl tak? Heheheh. Kami ni dikira team promosi la. Pastu kalau dapat pelanggan yang berminat, kami akan transfer kan panggilan tu ke Pusat Dell di Penang. Jadi kalau dapat transfer panggilan ke Penang, itu akan dikira sebagai satu lead. Setiap hari kena dapat sekurang2nya 2 lead. Ingat senang nak dapat? Macam2 perangai customer ni. Ada yang aku baru cakap…Good morning, I am Firuz from Dell Computer…Apa?....Saya dari Dell Computer…..Dell Computer? No. No. No. ….Pastu terus letak tepon. Tuuuuuuuut! Terus mati tepon. Sabar je la.

Ada plak penat aku promote 8 minit, habis air liur aku menerangkan promosi, pastu dia cakap…emmm…sebenarnya kami tak berminat la. Lagipun kami dah ada banyk komputer. Baru lagi. Lambat lagi nak tukar…Masa tu kan…rasa macam nak ketuk2 gagang tepon tu sampai pecah. Selalunya masa hari pertama keje, bos takkan harapkan lead dari orang baru. Selalunya hari2 pertama memang tak dapat lead la. Bos kami, Eric tu memang terror. Dia kata kalau orang tu ala2 interested je, pass tepon kat dia. Dia akan terus menggoreng2 n twist sampai orang tu setuju. Memang handal la dia. Dari orang tak nak beli, jadi nak beli terus.

Memang tak sangka hari pertama aku dapat tempay duduk sendiri dan menelefon, aku dapat 3 lead. Di tingkap cermin besar di ofis tu, diorang lukis jadual lead setiap orang. Memang terpampang la lead masing2. Kalau kosong, memang rompong la jadual tu. Hari kedua aku dapat 4 lead! Memang tak sangka. Tapi hari kedua tu aku dah rasa boring nak mampus. Rasa macam boring call2 orang ni. Tak berminat. Tak sesuai dengan jiwa aku. Tapi aku sabar je la. Hari ketiga aku dapat 3 lead. Bos happy. Siap kata aku ni superstar depan semua staff. Panggil aku sorang2 masuk bilik dia. Mula la dia bercerita panjang. Dia kata dia nak offer aku jadi permanent staff. Aku senyap je. Bukan senang nak dapat keje kat syarikat tu. Berapa ramai orang dtg interview tapi kena tolak. Bukan senang nak jadi permanent staff. Ada yang dah keje dari 2001 tapi masih contract staff. Aku pulak baru keje 3 hari, dah dapat offer tu. Tapi aku rasa tak minat la. Memang serius rasa boring call2 orang ni. Tapi sabar…

Tetiba hari keempat aku dapat 0 lead. Wakakaka! Bengang bos aku. Tu la…berharap sangat kat orang. Aku ni tak suka sangat high expectations dari orang lain. Jadikan aku tertekan je. Aku rasa stress gile hari tu sebab berapa banyak kali dia datang meja aku tanya pasal lead. Akhirnya kosong..huhuhuh. jatuh merudum wei…Tapi Alhamdulillah aku dapat 10 lead dalam masa 3 hari. Bole la cover kuota 10 lead untuk 5 hari. Tapi aku tengok jadual tu, takde pun yang lain cukupkan 10 lead setiap minggu. Bile aku tak dapat lead sehari, kecoh plak boss. Sabar je la. Hari kelima aku dapat dua. Esoknya kosong balik. Wakakaka. Aku tak rasa tertekan sangat sebab dah merasa kosong sebelum tu. Tapi memang penat gile menelefon orang. Hari aku tak dpat lead, aku buat sampai 186 panggilan tau. Dah la ulang alik dari TM-KL. Naik bas 6.30, sampai rumah nak dekat pukul 9.30 malam. Yang paling aku bengang sekali, memang susah nak solat. Aku rasa aku sorang je solat kat ofis tu. Terpaksa tumpang kat surau ofis lain. Dah la tergesa2 solat sebab boss percepatkan jam ofis. Adui….Ha lagi satu lelaki India yang masuk keje dengan aku hari tu kena fired hari kedua sebab datang lambat. Kesian dia….Mana dia tau jam ofis tu cepat.

Apa-apa pun kawan2 kat ofis tu cool la gak. Ramai India la. Tapi sporting2. Ada Anis, John, Silva, Ruzel, Duncan, Sara, Rodney, Moon, Uncle Wong n lain2. Hari seterusnya aku dapat dua dan yang terbaru ni, hari Jumaat lepas aku dapat 4. Alhamdulillah. Jadi kalau ada sesapa berminat nak beli desktop atau laptop, bagitau la aku ye. Aku akan sedaya upaya membantu. Ermm….sempena cuti sekolah ni, ayah aku nak bawa kami jalan2. Alhamdulillah. Gi Jakarta, Indonesia. Flight esok n pegi selama seminggu. Best sebab nak pegi satu famili untuk kali pertama. Tapi sedih gak sebab Hafiz takde sekali. Takpe la. Dia ada banyak peluang lagi. Dah sampai ke London pun dia tu.

Jadi aku akan pergi bercuti dengan keluarga bermula esok. Doakan la kami dapat percutian yang menyeronokkan dan diredhai Allah ok? Jumpa lagi dalam post akan datang. Masa tu aku akan ceritakan pengalaman di Indon pulak ye. Permisi dulu….


Cinta F.A.

Daun Kesembilan

Bantal sudah basah dek air mata. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa lama dia berkurung dalam bilik, berapa banyak air mata tumpah untuk si dia. Hancur segala mimpi dan harapannya. Disangkanya cinta mereka bakal menjadi sehebat cinta Khosro dan Shirin[1]. Sebaliknya dia jatuh hati pada kaum sejenis pula! Komputernya mengeluarkan bunyi.

firuz­_8420: Fereshte, saya minta maaf. Berilah saya peluang untuk menjelaskan segala-galanya.

Fereshte menekup wajah di bantal. Sebarang penjelasan tidak mampu mengubati hatinya yang luka parah.

firuz_8420: Biar saya terangkan dari mula. Sememangnya dari awal, Firuz yang awak kenali adalah gadis dari Malaysia. Saya melawat laman chat untuk mencari lebih ramai kawan Iran tanpa mengira jantina. Saya seorang perempuan tetapi dianggap lelaki manakala awak pula seorang perempuan yang mengaku lelaki. Bukankah sekali saya pernah mengaku yang saya ini perempuan? Awak pula fikir yang saya hanya bergurau.

Fereshte mengesat sisa air mata. Dia mengambil tempat duduk di hadapan komputer.

firuz_8420 : Suatu hari, kita duduk bersebelahan di kantin universiti. Awak khusyuk membaca kertas emel untuk saya. Ketika itu saya tahu yang awaklah Fereshte, kawan saya selama ini. Betul kata awak. Awak memang sentiasa keseorangan tanpa sebarang teman. Saya sebenarnya mahu mengaku tentang identiti sebenar saya tapi saya batalkan saja niat itu. Saya bimbang jika awak tahu bahawa saya gadis asing yang sama, awak tidak mahu berkawan dengan saya lagi.

Fereshte teringat kejadian hari itu. Dia tidak menyangka Firuz sempat membaca kertas yang berada di tangannya.

firuz_8420: Saya terharu dengan semangat berkawan awak sehingga awak menyediakan fail khas untuk saya. Sejak itu saya juga mengumpul segala emel dan chat kita di dalam sebuah fail. Di atas fail, saya tulis ‘bidadari[2]’,makna bagi nama awak dalam bahasa saya.

Bidadari maknanya Fereshte? Namanya sendiri dianggap nama gadis Malaysia itu

firuz_8420: Saya bersetuju untuk bertemu dengan awak di Taman Mellat kerana saya mahu mengaku diri saya sebenar. Begitu beria untuk bertemu awak, saya datang lebih awal. Akhirnya hampir 2 jam saya menunggu tapi awak tak muncul-muncul. Saya terpaksa pergi kerana saya ada perbincangan pelajaran dengan kawan-kawan. Rupa-rupanya saya sendiri yang silap. Saya tak menukar jam sejam ke belakang. Negara saya tiada musim luruh dan salji. Saya tak tahu yang terdapat perubahan masa setiap kali menjelang musim luruh dan musim bunga.

Kasihan Firuz. Rupa-rupanya bukan dirinya sahaja yang menunggu lama. Firuz juga setia menunggunya selama 2 jam.

firuz_8420: Saya mahu memperkenalkan diri dalam chat sahaja tapi tak kesampaian. Bagaimana perlu saya mendedahkan hal sebenar apabila awak meluahkan perasaan cinta pada saya? Fereshte, saya sayangkan awak tapi sebagai seorang kawan.

Fereshte terasa malu dengan diri sendiri.

firuz_8420: Fereshte, adakah cinta lelaki begitu penting buat awak pada masa ini? Tidakkah awak rasa cinta sahabat juga tinggi nilainya? Berkawanlah, Fereshte. Jangan lepaskan peluang untu bersahabat. Percayalah bahawa ia satu pengalaman yang indah. Mengapa perlu jadi orang asing di negara sendiri?

Fereshte sedar sikapnya yang tidak suka berkawan itu menyebabkan dia sering rasa kesepian. Sejak kecil dia memang begitu. Bolehkah dia mengubahnya sekarang?

firuz_8420: Saya betul-betul mahu berkawan dengan awak tapi terpulanglah pada awak untuk membuat keputusan. Menjelang Noruz[3]saya akan pulang ke Malaysia. Kalau awak maafkan saya, datanglah ke lapangan terbang. Jika awak tidak datang, saya sendiri akan faham yang persahabatan kita sudah sampai ke penghujungnya.

Fereshte kembali mengalirkan air mata. Firuz yang dicintainya selama ini tidak wujud. Firuz yang ada ini pula mahukan persahabatan. Dia keliru. Antara dendam cinta dan persahabatan, mana satu yang perlu dipilihnya?

* * * * *



[1] Khosro dan Shirin adalah satu daripada legenda cinta Iran. Khosro adalah seorang raja di Iran. Shirin dan Khosro saling mencintai.

[2] Bidadari dalam bahasa parsi adalah Fereshte

[3] Noruz adalah perayaan tahun baru bagi rakyat Iran. Iran mempunyai kalendar sendiri. Noruz jatuh pada 21 Mac setiap tahun.

Bookmark and Share