RSS

Tuesday, November 14, 2006

Gambar lawatan ke Isfahan dan Shiraz.




gmbr rumah dgn ros tu: baghe eram

gmbr bangnan tiang tu: chehel sutun

gmbr org: pelayan kedai kopi di pusara hafez

gmbr kaca warna warni: rumah di naranjestan

Bookmark and Share

Monday, November 13, 2006

Slamat Pose Enam!

Assalamualaikum.
apa khabar sume? dah lama gile aku tak hantar post. sibuks skit le...tak tau nak cite camne. mmm..pose dah habis. raya plak skang. dah pose 6 ke blom korang? aku tgh cube la ni. korang mesti dah habis posekan? aku sebenarnya ada banyk gile benda nak cite tapi takde masa nak tulis lagi la. apa2 pun aku akan cube tulis nanti. cume skang ni aku baru je tulis artikel lagi satu utk student kat mesir. ada org lain plak yang mintak tolong aku tulis. rasa2nya utk majalah pelajar2 kelantan kat mesir kot. so..seperti biasa aku akan paparkan artikel aku kat blog. yg original punye la. tak tau la nanti diorang potong ke..apa2 ke artikel aku ni. okla..cite biasa je...cite lawatan sambil belajar. tak tau nak cite apa sebenarnya. nak cite pasal pengalaman baru dtg ke iran....rasanyatak sesuai la sbb aku dah tulis dlm artikel dulu. tak nak la benda berulang plak. sebenarnya aku nak upload skali gambar2 berkenaan tmpt2 yg aku cite dlm artikel ni tapi ada masalah plak kt sini. sabar je la. lain kali ye? ape2 pun sudi2 lah baca artikel aku kali ni.

Lawatan Sambil Belajar ke Isfahan dan Shiraz, Iran

Hari itu ketika kelas baru saja bersurai, salah seorang daripada ahli kelas saya mengumumkan satu berita yang agak mengejutkan. Seramai 20 orang daripada pelajar kelas saya dibenarkan untuk mengikuti rombongan senior kami. Memang menghairankan kerana setelah hampir 3 tahun saya belajar di universiti ini, itulah pertama kali saya mendengar wujudnya rombongan sebegitu. Barulah saya tahu kakak-kakak senior yang bersusah payah untuk memohon budjet rombongan daripada pihak universiti. Sudah pasti kerja itu amat sukar kerana bukan selalu pelajar akan berjaya mendapat tajaan universiti. Bak kata orang Iran, mereka 'siap bunuh diri lagi' untuk mendapatkan kebenaran khas itu.

Pada pagi Selasa itu, sebuah bas besar sudah siap menunggu kami di hadapan universiti. Masing-masing kelihatan teruja untuk mengikuti rombongan yang julung-julung kali diadakan. Saya tidak beberapa mengenali kakak-kakak senior. Namun begitu, mereka amat mesra dan baik hati. Guru pengiring kami tiba dan bas pun bergerak meninggalkan perkarangan universiti menuju ke Isfahan, destinasi pertama kami. Pelajar kelas saya memang agak pemalu dan hal ini bertentangan bagi kakak-kakak yang duduk di bahagian belakang bas. Ketika bas mula bergerak, mereka sudah mula menyanyi, bertepuk tangan dan menari. Itulah dia kelebihan universiti kami yang pelajarnya terdiri daripada perempuan saja. Mereka boleh membuat riuh rendah tanpa ada 'suara sumbang' yang menegur.

Perjalanan dari Tehran ke Isfahan mengambil masa kira-kira 4 jam. Kami tidak singgah lama di Isfahan kerana destinasi utama kami sebenarnya adalah Shiraz. Tempat pertama yang kami kunjungi ialah Chehel Sutun (Tiang Empat Puluh). Ia merupakan istana hinggap ketika zaman Kerajaan Safavid. Dindingnya cantik berhias dengan lukisan mengenai peristiwa yang terjadi pada zaman itu. Daripada perkara remeh seperti majlis tarian untuk para tetamu sehinggalah kepada perkara serius seperti peperangan. Barangan antik yang berasal daripada zaman itu turut dipamerkan. Kami mengambil gambar beramai-ramai di hadapan istana itu yang dihiasi dengan 20 batang tiang. Persoalannya mengapa istana ini dinamai Chehel Sutun jika hanya terdapat 20 tiang saja? Di hadapan istana ini ada sebuah kolam yang besar. Mereka mengambil kira 20 tiang di hadapan istana dan 20 bayang-bayang tiang yang dapat dilihat di permukaan air di kolam itu. Maka, jumlahnya menjadi empat puluh!

Kemudian kami singgah di sebuah kawasan lapang yang dipanggil Naqshe Jahan. Pada zaman dahulu, Isfahan pernah menjadi ibu negara Iran. Naqshe Jahan adalah sebuah kawasan lapang yang terdiri daripada istana, masjid, bazar, kedai dan macam-macam lagi. Sebuah kolam besar terletak di tengah-tengah medan itu. Kehebatan seni bina Islam dapat dilihat daripada bangunan yang terdapat di situ. Memang indah dan unik rekaannya. Seni bina dari Iran selalunya berwarna biru firuz. Setiap reka bentuk mempunyai fungsinya yang tersendiri. Contohnya lekukan di siling bukanlah perhiasan semata-mata tetapi ia juga berfungsi dalam proses pemantulan suara.

Kami sempat menjamu selera di tepi jambatan yang bernama Seyose Pol (Jambatan Tiga Puluh Tiga). Jambatan ini unik dan mempunyai 33 buah lubang di bawahnya. Sangat cantik lebih-lebih lagi apabila disimbahi cahaya lampu pada waktu malam. Jambatan di Putrajaya sebenarnya dibina berdasarkan rekaan bentuk Seyose Pol di Isfahan. Semalaman kami tidur di dalam bas untuk meneruskan perjalanan ke Shiraz. Pada awal pagi kami tiba di Universiti Shiraz. Universitinya luas dan besar jika dibandingkan dengan universiti kami di Tehran. Kami terus menghala ke arah asrama untuk berehat. Setelah beberapa jam berehat, kami menaiki bas semula untuk memulakan lawatan di sekitar Shiraz.

Kami turun di sebuah taman yang dipanggil Baghe Eram (Taman Eram). Saya tidak dapat mempercayai apa yang saya lihat memandangkan taman itu sangat cantik dihiasi bungaan yang berwarna-warni. Secara kebetulan kami datang pada musim bunga. Iran mempunyai kalendar yang tersendiri. Ketika itu adalah bulan April tetapi menurut kalendar mereka ketika itu adalah bulan Urdibehest. Behest ertinya syurga. Orang di sana kata jika mahu melawat Shiraz, datanglah pada bulan Urdibehest kerana Shiraz akan jadi begitu indah bak syurga. Saya sendiri tidak pernah melihat syurga tetapi saya rasa saya faham dengan apa yang dimaksudkan. Taman itu begitu luas dihiasi dengan bungaan pelbagai jenis dan warna. Air kolam yang jernih menambahkan seri taman itu. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah berjalan di tepi pohonan oren di situ. Jalannya panjang dan ketika menyusuri jalan itu, saya dapat melihat putik-putik buah. Bau wangi menusuk hidung. Sangat indah baunya. Asli dan menyenangkan. Dari jauh lagi bau itu akan menyambut para tetamu.

Selepas itu kami bertolak ke Naranjestan. Di situ terdapat rumah lama yang dihiasi dengan kaca putih dan kaca berwarna-warni. Pada waktu dulu, rumah itu milik Orang Kaya Shiraz tetapi sekarang dibuka untuk tatapan umum. Apabila cahaya matahari memancar ke kaca-kaca itu, cahaya yang amat indah akan terhasil. Sememangnya seni Iran dalam bidang kaca memang sesuatu yang boleh dibanggakan. Halaman rumah itu pula terdapat taman yang dihiasi dengan bunga dan kolam air. Hujan renyai mula turun tetapi bagi kami ia hanya menambahkan keindahan Naranjestan. Bau hujan bercampur dengan bau bungaan memang ajaib.

Hafez adalah salah seorang daripada penyair agung bumi parsi. Beliau adalah orang yang pintar dalam bidang muzik dan juga seorang hafiz al-quran. Kelebihannya itu digunakan untuk menghasilkan syair yang tiada tolok bandingannya. Orang Iran sangat menyanjungi Hafez. Mereka menilik nasib dengan menggunakan syairnya. Kami berhenti lama di pusaranya kerana kawan-kawan saya mahu 'menghabiskan masa yang banyak bersama Hafez.' Sementara menunggu rakan-rakan yang tidak habis-habis menilik nasib, saya dan beberapa teman lain pergi ke kedai kopi di situ. Para pelayan di situ memakai pakaian tradisional yang amat menarik. Di situ orang ramai boleh meminum kopi atau teh, menikmati manisan khas Shiraz sambil menghisap Gelion. Lelaki dan wanita menghisapnya dengan tiub yang panjang dan ia mempunyai pelbagai perisa.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Takhte Jamshid yang popular di seantero dunia dengan nama Persepolis. Takhte Jamshid adalah kawasan istana hinggap raja pada zaman kegemilangan Kerajaan Parsi kira-kira 2500 tahun dahulu. Kawasan itu sangat luas dan kesan peninggalan Kerajaan Parsi masih dapat dilihat walaupun banyak juga yang telah terhakis dan tidak kurang juga ada yang telah dicuri. Kami mendapat penerangan lengkap daripada seorang pemandu pelancong. Memang menarik kerana orang zaman dahulu pun mampu membina tempat yang unik itu tanpa bantuan alat-alat canggih. Di dinding terukir gambar-gambar yang mempunyai ceritanya yang tersendiri. Pada zaman dahulu Kerajaan Parsi merupakan salah satu daripada kuasa terkuat dunia. Banyak kerajaan berada di bawah kuasa Kerajaan Parsi. Oleh itu, setiap kali tiba Perayaan Noruz (Tahun Baru bagi kalendar parsi), kerajaan-kerajaan lain akan mempersembahkan hadiah buat Raja Parsi. Kisah orang-orang ini dan hadiah masing-masing terukir di dinding Takhte Jamshid.

Inilah cerita serba ringkas tentang lawatan saya ke Isfahan dan Shiraz. Sebenarnya beberapa helai kertas tidak cukup untuk menggambarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini. Iran sememangnya berpotensi untk menjadi sebuah negara pelancongan yang baik. Sayangnya tiada promosi meluas dilakukan kerana masalah mereka dengan Amerika. Harap-harapnya saya dapat memberi gambaran baik tetang Iran pada kalian. Iran adalah negara empat musim yang cantik dan kaya dengan kesan sejarah. Jika ada yang berminat untuk datang dan melihat sendiri Iran, silakanlah. Saya akan menunggu kalian di sini. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan!


Firuz Akhtar bt Mohamad Bohari
Tehran, Iran
firuz_akhtar@yahoo.com


Penulis adalah pelajar tahun akhir dalam bidang Kesusasteraan Parsi di Universiti Al-Zahra, Tehran, Iran.
Bookmark and Share