RSS

Wednesday, September 01, 2010

Lailatul Qadar: Tanda-tandanya dan Waktunya

Ya Allah, bagilah peluang pada hamba-Mu yang hina dina ini untuk mengecapi lailatul qadar yang mulia. Memang malam tu datang secara 'surprise'. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersedia pada 10 malam terakhir Ramadhan. Mari kita ambil tahu serba sedikit tentang tanda-tanda malam berkenaan.



Allah swt. menetapkan bahawa waktu sebenar berlakunya malam Qadr tidak diberitahu secara jelas supaya manusia tidak bersikap malas. Sebaliknya Allah swt. menyembunyikan waktu terjadinya malam berkenaan supaya orang-orang Islam terus menghidupkan sebanyak masa yang mungkin sama ada pada waktu siang ataupun malam agar berterusan melakukan ibadat. Hal yang demikian juga berlaku di dalam banyak perkara. Allah SWT menyembunyikan saat kematian dan waktu sampainya ajal supaya takut pada Allah berterusan dan seorang Muslim juga mentaati Tuhannya tanpa henti.

Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.

Malam Qadr mempunyai banyak tanda dan alamat. Di antara tanda-tandanya ialah matahari terbit dengan sifat yang ia tidak mempunyai sinaran yang terik. Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak pula sejuk, waktu pagi matahari terbit dalam warna kemerah-merahan.

Perkara utama yang sepatunya diingati ialah bahawa Malam Qadr adalah suatu malam yang penuh kelebihan dan kemuliaan. Setiap daripada kita perlu mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat dan jangan sekali-kali menahan dirinya daripada menadah tangan untuk berdo'a. Dengan menyebut:

اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني
"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."

Imam Al-Sawi menyebut dalam kitab tafsirnya: Sebaik-baik doa yang dipinta pada malam itu ialah keampunan dan kesihatan.

Akhir kata, sama-samalah kita memohon kepada Allah agar memberi manfaat kepada kita dengan nilai-nilai kebaikan Ramadan serta bekal yang ada di dalamnya. Semoga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita.

[Daripada tulisan Abu Salman Said]
Bookmark and Share

No comments: