Assalamualaikum...dah masuk pertengahan ramadhan pun ye, sekejap je masa berlalu. iran bulan pose biasa je. nothing interesting sbb aidil fitri takdisambut meriah di sini. perayaan terbesar di iran...perayaan tahun baru mereka pada bulan mac. iran ni ada kalender sendiri tau. kalau ikutkan kalendar diorang skang ni bulan tujuh tahun 1385. hihihihi. pelik kan? katanya diorang ikut kalendar hijrah. kalender islam kite kalendar hijrah qamari kan...ikut bulan kan...tapi diorang kalendar hijrah shamsi, ikut matahari. macam2 la diorang ni. suka benar buat benda lain dari lain. puasa pertama di iran pun pada hari kedua korang sume berpose. thn lepas plak...raya di sini pada hari raya kedua raya korang. sabar je la..tapi aku tak pedulik pun. aku lari dari asrama n tumpang tidur rumah kwn. pastu esoknye bile org iran tgh pose lagi aku trus meluru ke embassy, beraya dgn org embassy. wakakakaka. rasa2nya tahun ni pun kes raya lambat di iran ni akan berulang lagi.
ok la. kali ni aku sambung artikel aku yg dulu tu.
SIRI 4: INI BUKAN DUNIAKU
Menurut cerita yang saya dengar, Saidina Hussien juga mempunyai anak remaja yang bernama Ali Akbar. Dia juga syahid dalam peperangan ini. Simbolik kepada kematian Ali Akbar, patung bersaiz anak remaja lelaki tanpa kepala dan berlumuran darah pula yang akan diusung. Seperti biasa, wang daripada orang ramai juga akan disemat di situ. Saya pernah menghadiri perbarisan ini di sebuah kawasan di pinggiran Tehran. Sebuah replika kuda yang dipanah kelihatan di tempat perbarisan. Tidak silap saya, kuda itu mungkin simbolik kepada kuda Saidina Hussien.
Orang India di negara kita akan memikul alat semacam gabungan besi di bahu dan ada juga dicucuk di mulut ketika perayaan Thaipusam. Di sini pula mereka memyediakan gabungan besi yang terdiri daripada pedang atau topi besi. Satu gabungan besi itu mewakili sepasukan tentera kononnya. Ia akan dihias cantik dengan bulu burung dan sebagainya. Bergantung pada kewangan sesuatu kumpulan , gabungan besi itu boleh jadi besar atau kecil. Lazimnya kumpulan yang mewakili masjid atau sesuatu kawasan tertentu akan mempunyai gabungan besi yang besar. Ada juga anak-anak lelaki kecil yang bernazar untuk sesuatu dan membeli gabungan besi yang kecil. Ketika perarakan, gabungan besi itu akan dipikul di atas bahu. Pada kali pertama saya melihat benda itu, saya tidak boleh membayangkan langsung bagaimana seorang lelaki boleh memikul benda itu yang sememangnya amat berat! Makin besar gabungan besi yang saya lihat, semakin gerun saya rasakan, tidah patah tengkukkah nanti? Cuba bayangkan benda sebesar itu akan dipikul oleh seorang lelaki sahaja! Oleh itu, selalunya di belakang pemikul, ada beberapa orang lelaki yang sudah bersedia untuk menggantikan tempat. Ada yang kuat boleh bertahan sehingga 100 meter sebelum bertukar orang. Ada juga yang mampu berjalan beberapa tapak sahaja. Saya begitu kagum apabila ada yang mampu berpusing ke kanan dan kiri dengan gabungan besi itu. Saya pula merasa takut jika benda itu akan terjatuh ke atas kepala orang ramai. Pemikul gabungan besi ini akan berdiri di hadapan sekali seolah-olah ia merupakan lambang kepada sebuah pasukan tentera. Dari jauh orang ramai dapat membezakan kumpulan-kumpulan ratapan yang berlainan berdasarkan gabungan besi itu.
Kumpulan yang mempunyai gabungan besi yang besar, peratap dengan rantai besi yang teratur gerakannya dan mainan muzik yang kuat dan hebat sememangnya menjadi perhatian orang ramai. Kebiasaannya kumpulan seumpama ini akan dianggotai oleh orang muda atau orang berumur yang kuat. Mereka yang sudah tua pula akan membentuk kumpulan yang lebih 'tenang'. Bala akan diundang jika mereka menyertai kumpulan anak muda yang gah dengan bunyi gendang yang kuat. Takut ada yang mati sakit jantung pula. Kumpulan pakcik tua selalunya tidak mempunyai gabungan besi dan pemuzik. Hanya ada seorang penyair dan yang lain akan mengikut dari belakang sambil memukul lembut dada masing-masing.
Dalam sesak orang ramai, tiba-tiba saya rasa disirami air. Habis basah tudung saya. Rupa-rupanya ada beberapa wanita yang membeli botol air mawar. Air mawar itu dipercik untuk orang ramai. Masalahnya saya tidak dapat bergerak kerana orang terlalu ramai dan akhirnya semua air itu menghala ke arah saya sahaja. Menjelang tengah hari, banyak orang akan mula beratur di khemah-khemah yang didirikan. Mereka yang bernazar selalunya akan memberi makanan percuma kepada orang ramai. Hidangan yang disediakan adalah pelbagai tetapi selalunya mereka akan memberi ghurme sabzi atau ghimeh kerana harga penyediannya agak murah berbanding lain. Saya memang tidak lalu makan ghurme sabzi dan saya akan mengambil ghimeh. Maka dua hingga tiga hari itu saya hanya makan ghimeh sehingga naik muak.
Malam pada hari peperangan dipanggil Shabe Ghariban. Kata mereka malam itu adalah malam di mana para wanita dan anak-anak dari pihak Saidina Hussien yang masih hidup mengalami kesedihan yang amat setelah mengetahui kekalahan pihak mereka. Tanpa orang yang melindungi dan lebih-lebih lagi menjadi tahanan, mereka terkapai-kapai dalam lautan kesedihan. Sebagai simbolik untuk malam ini, rakyat Iran akan keluar beramai-ramai dari rumah pada malam itu dan memasang lilin di masjid-masjid dan tempat-tempat lain. Kononnya lilin mereka dapat menerangi malam sedih itu. Ada juga membuat tanglung daripada kertas keras. Nama Hussien atau Zahra (ibu Saidina Hussien) atau Zainab(kakak Saidina Hussien) akan ditoreh di atas kertas keras itu. Kemudian lilin yang menyala akan diletak di dalamnya. Dari jauh nama-nama tu akan kelihatan memancar dalam gelap. Cantik sekali dan saya pernah membantu kawan Iran saya membuatnya.
Di masjid, sekolah, dewan atau Husainiye( tempat program keagamaan) pelbagai program akan dijalankan.Orang ramai akan berkumpul untuk mendengar ceramah khas tentang kisah berdarah Karbala atau ada seorang penyair akan menyanyikan semula kisah itu dengan nada yang amat sayu. Saya pernah mengikut kawan saya ke sebuah sekolah untuk melihat sendiri acara itu. Lampu tidak dipasang untuk menambahkan suasana sayu. Saya duduk dalam sesak itu sementara telinga saya disajikan dengan ceramah dan tangisan para wanita. Saya melihat sekeliling dan kelihatan ramai wanita yang sedang meratap kesedihan. Saya juga sedih dengan tragedi Karbala itu tetapi saya hanya mampu membaca doa dan menghadiahkan surah pada para syahid. Kesedihan saya hilang begitu sahaja apabila saya terdengar tangisan yang melampau dari para wanita. Mereka menangis terlalu kuat sehingga merupai jeritan pula. Meremang bulu roma saya. Akhirnya saja menjadi bosan. Sempat juga saya melelapkan mata dua tiga kali dalam kegelapan itu.
Semua stesen televisyen Iran akan menunjukkan rancangan yang berkaitan dengan Saidina Hussien. Rakan-rakan asing saya yang lain tidak suka memasang televisyen atau radio pada bulan muharram. Hanya bunyi tangisan atau syair pilu yang kedengaran. Para lelaki akan berkumpul beramai-ramai dan menlagukan syair pilu. Ada seorang 'solo' yang mengetuai syair dan yang lain akan mengikut. Macam-macam kerenah dapat dilihat. Ada yang hanya duduk sambil memukul dada. Sesetengahnya akan membentuk bulatan di sekeliling solo. Solo akan berdiri di tempat yang lebih tinggi sambil memberi galakan pada mereka yang mengelinginya. Mereka yang mengelinginya pula akan melompat-lompat dalam bulatan sambil memukul kepala masing-masing seiring dengan sebutan Hussien…Hussien..Hussien..
Televisyen Iran akan menunjukkan upacara ratapan Karbala di negara-negara lain. Ada negara yag menjalankan acara itu di bangunan khas atau tempat-tempat tertentu yang lain. Kebanyakannya rakyat Iran juga yang sudah berhijrah. Apa-apa pun, acara di negara lain tidak mampu menandingi kehebatan panganjuran acara di Iran. Negara lain hanya membuat satu acara. Iran pula menganjurkan acara itu di setiap negeri. Setiap negeri pula ada beberapa bandar. Sebagai pusat Syiah dunia, acara ini boleh dilihat di mana-mana di Iran dan rakyatnya begitu bersemangat mengikutinya setiap tahun.
Saya kagum dengan semangat orang Iran yang begitu memegang teguh pada tradisi sendiri walaupun dikecam dunia. Namun begitu, alangkah bagusnya kalau semangat ini diprakitikkan dalam mempertahankan agama Islam kita. Bukan terhad saja pada tradisi. Jika semua umat Islam ada semangat kuat begitu, agama kita akan berjaya menguasai dunia. Dalam lautan manusia itu, saya hanya berdiri di satu sudut. Sambil memandang mereka yang sedang asyik dalam perbuatan sendiri, saya hanya tersenyum. Sungguh hebat semangat mereka dan mereka senang dengan perbuatan mereka. Saya terasa seperti hidup di planet lain. Lain benar dengan tempat-tempat lain yang pernah saya lawati. Dalam hati saya berbisik…walau berapa tahun pun aku tinggal di sini, walau berapa kali pun aku menonton acara mereka ini, ini tetap bukan dunia aku. Dunia aku ada di sana sedang menunggu aku dengan segenggam ijazah…
Firuz Akhtar Lubis
September 2006
Penulis merupakan pelajar semester keenam di Universiti Al-Zahra di Tehran, Iran dalam bidang Perbandingan Tamadun Islam Khasnya Peradaban Parsi.
No comments:
Post a Comment